Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang bersama Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Negeri Pahang akan menganjurkan acara Pahang Hiking Day 2022 pada 20 Mac 2022 (Ahad) di seluruh Negeri Pahang.
Acara ini adalah pendakian santai yang bertujuan untuk mempromosikan bukit-bukit yang terdapat di seluruh Negeri Pahang serta menggalakkan rakyat Negeri Pahang mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti ‘hiking’.
Selaras dengan tema baharu pelancongan Negeri Pahang iaitu “This is Pahang – Unlimited”, acara Pahang Hiking Day 2022 adalah pemangkin untuk pelancong dari luar Negeri Pahang untuk mencuba dan menerokai “hidden gems” di negeri ini melalui pendakian di bukit-bukit yang menjanjikan pemandangan yang menarik di seluruh Negeri Pahang.
Struktur muka bumi dan alam sekitarnya yang pelbagai membuatkan Pahang memiliki pelbagai tarikan peranginan, terdapat sebanyak 79 bukit di seluruh negeri ini dan sejumlah 2044 batang sungai meliputi keseluruhan negeri yang boleh diterokai oleh pelancong di Negeri Pahang. Selain itu, terdapat juga 26 buah Taman Eko-Rimba dan dua buah Hutan Taman Negeri (Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Cameron Highlands) yang menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi bagi seisi keluarga dan juga peminat aktiviti luar.
Mengikut statistik data kehadiran pelancong ke Negeri Pahang, pada tahun 2021 negeri ini telah menerima kunjungan sebanyak 2,210,680 orang walaupun negara kita dilanda pandemik Covid-19. Melalui acara ini, semestinya kemasukan pelancong ke negeri bertuah ini akan bertambah terutamanya selepas negara memasuki Fasa Endemik Covid-19 pada 1 April 2022 akan datang. Selain itu, Tourism Pahang juga dapat mengetengahkan bukit-bukit di Negeri Pahang sebagai destinasi eko-pelancongan bagi penggemar aktiviti sukan lasak ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Bukit Buloh @ ‘The Red Forest’, Jerantut bagi menyertai acara ini.
Acara ini akan diadakan serentak di seluruh Negeri Pahang, lokasi pendakian adalah seperti berikut:
- Taman Eko-Rimba Parit Fall, Cameron Highlands
- Bukit Peninjau, Lipis
- Gunung Tahan, Lipis
- Bukit Buluh (The Red Forest), Jerantut
- Bukit Kolam, Raub
- Bukit DO, Bentong
- Bukit Woh, Temerloh
- Bukit Kertau, Maran
- Bukit Senorang, Bera
- Bukit Pelindung, Kuantan
- Bukit Tanjung Batu, Nenasi, Pekan
- Bukit Ridan, Muadzam Shah, Rompin
- Gunung Nenek Semukut, Kampung Mukut, Pulau Tioman
Acara pendakian ini akan disiarkan secara kaedah ’live streaming’ dari seluruh Negeri Pahang kepada penonton di laman Facebook Tourism Pahang. Ini merupakan platform terbaik bagi mempromosikan lokasi pendakian di seluruh Negeri Pahang dan secara tidak langsung, penonton dapat merasai pengalaman pendakian bersama peserta acara ini.
No comments:
Post a Comment
What do you think of my blog???